BAB 3
PERISTIWA petang tadi mengganggu fikirannya. Dia teringat kepada Puan Zaitun. Puan Maryam sebenarnya serba salah. Hendak menghalau wanita itu dari rumah sewanya, dia tidak sampai hati. Ikatan persaudaraan membuatkan hatinya sering kali lemah. Dia betul-betul dalam dilema.
Jika dibiarkan terus menetap di rumah sewanya, bayaran sewa rumah tidak pernah lengkap setiap bulan. Pasti ada sahaja lompongnya. Kadang-kadang dua bulan sekali, ada masanya tiga bulan sekali baru dia dapat hasil duit sewanya.
“Hai, ibu, jauh termenung?” sapa Safi Imani anak keduanya, yang juga anak bongsunya.
Safi melabuhkan punggungnya di sebelah Puan Maryam. Dari tadi dia lihat ibunya termenung jauh. Langsung tidak menyedari dirinya yang sudah hampir lima minit terpacak di situ.
“Ingat buah hati?” Safi mengusik Puan Maryam apabila wanita itu masih berdiam diri.
Satu cubitan singgah di lengan Safi. Dia menyeringai kesakitan.
Puan Maryam hanya tersenyum. Bukan anaknya itu tidak tahu sudah berapa lama dia hidup sendiri setelah kematian suaminya kira-kira lapan tahun yang lalu.
“Sakitlah, ibu.” Lengannya digosok perlahan.
Niatnya hanya mahu menyakat ibunya sahaja. Alih-alih dia yang terkena. Lengan Puan Maryam dipaut, lalu kepalanya disandar ke bahu wanita itu.
“Ibu ada masalah ke? Safi tengok ibu termenung aje sejak balik dari rumah Mak Tun tadi.”
“Hmm... macam tulah perangai Mak Tun kamu tu. Bila sampai masa kena bayar duit sewa rumah, dia bagi ibu macam-macam alasan. Naik pening kepala ibu memikirkannya,” rungut Puan Maryam.
Safi mencemik.
“Alah... Ingat Safi tak tahu ke perniagaan dia macam mana. Pelanggan ramai aje datang ke gerai. Siap makin besar lagi kedai makan dia. Tu pun boleh bertangguh lagi bila tiba bab kena bayar duit sewa rumah. Alasan aje tu. Sekali ibu jual tanah tu, baru dia tahu,” bebel Safi tidak puas hati.
“Kalau ikutkan hati ibu yang geram ni, mahu aje ibu jual tanah tu. Baru puas hati ibu!”
“Apa yang marah sangat ni, ibu?” Muncul satu suara dari arah belakang.
Dua beranak itu menoleh ke arah empunya suara. Suria muncul bersama talam di tangan. Ada sepinggan buah-buahan potong serta tiga cawan teh O sebagai peneman bicara. Talam itu diletakkan di atas meja kecil di hadapan Puan Maryam.
Puan Maryam tersenyum memandang roman anak sulungnya, Suria Kaisara.
“Siapa lagi yang selalu sakitkan hati ibu kalau bukan Mak Tun,” jawab Safi.
Suria tersenyum memandang Safi. Mujur dia sedang bercuti semester. Jadi, dapatlah adiknya itu menemani ibunya di rumah.
“Danish mana?” soal Puan Maryam. Matanya melilau mencari cucu kesayangannya.
“Dah tidur. Letih sangat agaknya.” Suria melabuhkan punggungnya setentang dengan mereka.
“Eloklah tu. Biarlah dia rehat.” Puan Maryam tersenyum.
“Kakak ke yang buat kek ni?” soal Safi tiba-tiba.
Kek itu ditilik seketika sebelum menyumbatnya ke dalam mulut.
“Sedapnya...” Safi memuji sambil memejam mata. Ibu jarinya diangkat tanda berpuas hati.
“Habis tu, siapa lagi? Nak harapkan adik? Entah bilalah agaknya dapat merasa,” jawab Suria.
Safi menjeling Suria.
Suria tersengih. Suka benar dia dapat mengusik adik kesayangannya.
“Ibu, betul ke ada syarikat berminat nak beli tanah ibu?” soal Suria.
Puan Maryam mengangguk kecil. Keluhan dilepaskan.
“Ibu setuju?” soal Suria lagi.
Entah kenapa terbayang-bayang wajah Puan Zaitun di hadapan mata. Suria bersimpati. Ke mana pula wanita itu hendak pergi kalau tanah ibunya dijual nanti?
Puan Maryam terdiam. Dia buntu. Jawapannya masih belum ada.
“Ibu keliru. Sebelah hati rasa nak lepaskan aje tanah tu, tapi sebelah hati lagi rasa tak sanggup. Lagipun ibu aje yang belum beri kata putus. Pemilik tanah yang lain semuanya dah setuju. Rasanya, ibu juga tak ada pilihan nanti. Mungkin terpaksa beralah.” Keluhan dilepaskan sebelum menyambung kata.
“Perangai Mak Tun tu kadang-kadang buat ibu hilang sabar. Kalau tak fikirkan ibu dan dia bersaudara, dah lama ibu jual. Tapi, bila fikirkan tanah tu jugalah tempat dia nak cari rezeki, ibu jadi tak sampai hati. Nantilah ibu fikir. Ibu kena lebih kerap solat istikharah. Semoga Allah lorongkan ibu jalan yang terbaik buat kita semua.”
Suria tersenyum. Semoga ibunya diberi kekuatan untuk menghadapi semua dugaan ini. Suria tahu Puan Maryam seorang wanita yang cekal dan tabah. Jika dia di tempat wanita itu, belum pasti dia mampu setenang itu.
“Apa pun keputusan ibu, kami tetap akan sokong,” ujar Safi.
Dari tadi dia hanya diam memerhati. Jemari ibunya digenggam erat. Kemudian, Safi berpaling ke arah Suria.
“Kak, adik ada benda nak tanya ni.” Safi tersengih-sengih.
Dia sudah mula bosan dengan topik perbincangan yang serius itu. Dia mahu menyakat kakak kesayangannya.
“Dah kenapa? Tanya ajelah. Sejak bila kena minta izin?” Pelik Suria dengan soalan si adik.
Safi tersengih lagi. Semakin pelik Suria dibuatnya. Puan Maryam pula tidak lepas daripada merenung wajah anak bongsunya.
“Kalau adik nak kenalkan kakak dengan abang kepada kawan adik, kakak nak tak? Dia bujang lagi. Kerja pun bagus,” ujar Safi.
Puan Maryam sudah mengulum senyum.
Renggang mulut Suria mendengar kata-kata bersahaja Safi.
“Lagipun... dia kacak orangnya. Adik rasa padan sangat dengan kakak.”
“Dah, tak payah nak mengarut. Kalau adik nak sangat, adik ajelah kahwin dengan dia,” balas Suria.
Tak ada benda lain ke nak ditanya?
“Dengarlah dulu apa adik nak cakap.” Puan Maryam menegah.
Dia seakan berminat mahu mendengar dengan lebih lanjut.
“Hai, ibu pun sama naik. Kenalkan pada ibulah, adik. Mana tahu ibu berminat.”
“Ke situ pulak dia. Kalau dengan ibu, jadi anak ikan bolehlah.” Spontan Puan Maryam menjawab.
Pecah ketawa mereka bertiga.
“Kakak, adik serius ni.” Safi masih mahu mencuba nasib.
Dia benar-benar berharap pintu hati kakaknya akan terbuka juga suatu hari nanti.
“Akak pun serius, dik.” Suria sudah angkat punggung.
Dia melangkah ke balkoni. Sesak dadanya dengan situasi seperti ini. Matanya memandang ke dada langit. Cuba mengira bintang yang bersinar di langit yang gelap.
“Suria tak nak cari pengganti Shahrul?”
Soalan ibunya dibiarkan dibawa angin lalu. Dia hanya membisu.
Puan Maryam sudah berdiri di sebelah Suria. Turut mengambil angin malam.
“Dah lebih tujuh tahun arwah pergi tinggalkan kita. Suria tak fikirkan Danish? Tak kesiankan Danish?”
Suria bungkam.
“Ibu kesiankan Danish. Dia tak pernah kenal kasih sayang seorang ayah. Suria aje ibu dan ayah untuk dia. Mungkin dah tiba masanya untuk Suria fikirkan perkara ni. Ibu nak Suria bahagia,” ujar Puan Maryam.
“Siapa kata Suria tak bahagia? Suria dah ada Danish, ada ibu dan adik. Semua tu dah cukup buat Suria, ibu.” Suria tersenyum memandang wajah ibunya.
“Tapi... Danish perlukan kasih sayang seorang ayah.” Wajah Suria direnung lembut.
“Ibu tahu, Suria tak dapat nak lupakan arwah Shahrul. Ibu tak minta Suria lupakan Shahrul. Dia tetap ada dalam hati kita buat selama-lamanya. Tapi, kita yang hidup ni tetap kena teruskan hidup. Patah tumbuh hilang berganti.”
“Tapi, tetap tak sama dengan yang dah hilang, ibu.” Terasa panas tubir mata Suria.
Dadanya sebak mengenangkan arwah Shahrul. Hatinya menjadi pilu. Perkahwinannya dengan arwah suaminya hanya bertahan beberapa bulan sahaja sebelum lelaki itu pergi dijemput Ilahi dalam satu kemalangan jalan raya.
“Kenapa ibu tak nak kahwin lagi? Suria tengok ibu gembira aje hidup tanpa suami.” Suria memantulkan pula soalan yang sama.
Puan Maryam tersenyum. Dia berpaling merenung dada langit. Nafasnya ditarik panjang.
“Kisah ibu lain, sayang.” Puan Maryam kembali berpaling, merenung wajah Suria.
“Ibu kehilangan suami masa ibu 50 tahun. Waktu tu, kamu semua dah dewasa. Sebab tu ibu tak pernah terfikir untuk kahwin lagi. Terlalu banyak momen indah yang tercipta antara ibu dan ayah. Ibu tak dapat nak lupakannya. Lagipun, sekarang ni masa untuk ibu cari ilmu agama yang tak dapat ibu lakukan waktu muda dulu. Tapi, kisah Suria lain. Suria kehilangan suami di usia yang masih muda. Danish sendiri tak pernah kenal seorang ayah dalam hidupnya. Fikirkan masa depan Danish, Suria.” Puan Maryam berhujah.
Suria terdiam lama. Adakah selama ini dia bersikap terlalu kejam kepada Danish? Mindanya tertanya-tanya. Cuba mencari jawapan, namun tidak ketemu.
“Kakak fikirkanlah apa yang adik cakap tadi. Kalau kakak setuju, adik boleh tolong.” Tiba-tiba Safi mencelah.
Isu rumah tangga agak berat buatnya. Dia sendiri belum punya pengalaman.
Suria diam tidak berkutik.
“Kalau diam, tu tanda setuju.” Safi masih belum puas menyakat kakaknya.
“Kakak tahu tak, ibu pernah cakap dengan adik. Kalau ada lelaki bujang nak masuk meminang kakak, ibu akan setuju.” Safi tersengih, menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.
Renggang mulut Suria mendengarnya. Dia memandang wajah Puan Maryam seakan tidak percaya.
“Apa ibu cakap ni? Mana ada lelaki bujang nak dekat ibu tunggal anak satu macam Suria ni.”
“Betullah apa yang ibu cakap. Ingat anak ibu ni tak laku? Cantik macam ni, mustahil tak ada lelaki bujang yang mahu. Betul tak, Safi?” Puan Maryam merenung Suria atas bawah.
Tidak ada yang kurang pada pandangannya. Anaknya itu masih cantik.
Safi mengangguk tanda setuju. Mata kirinya dikenyitkan.
Suria rasa geram tiba-tiba. Tak sangka pula ibunya boleh bersekongkol mahu mengenakannya. Pantas dia ke depan, mahu mengetip lengan kiri Safi, namun adiknya lebih cekap menyorok di belakang Puan Maryam.
Safi menjelir lidah. Sesudah itu, dia ketawa.
Suria menjeling tajam. Geram dengan perangai si adik.
Puan Maryam pula tersenyum melihat kemesraan kedua-dua anaknya. Jauh di sudut hati, dia benar-benar berharap agar Suria akan terbuka pintu hati untuk menerima kehadiran seorang lelaki.