BAB 2
PUAN MARYAM melabuhkan duduk di atas kerusi. Cuaca yang panas membuatkan kulitnya yang putih menjadi kemerahan. Kaca mata ditanggalkan seketika untuk mengelap peluh pada wajah. Dia melepaskan keluhan panjang.
Segelas teh ais diletakkan di hadapannya. Puan Maryam mendongak. Wajah Puan Zaitun, sepupunya, muncul di depan mata. Sudah agak lama dia tidak bersua muka dengan sepupunya itu.
“Kau apa khabar, Tun?” soal Puan Maryam, memulakan bicara.
“Aku macam nilah. Macam yang kau tengok. Makin sihat,” jawab Puan Zaitun seraya tersenyum.
Puan Maryam memandang tubuh sepupunya. Benar! Wanita itu sudah semakin berisi.
“Laki kau mana? Aku tak nampak pun?” soal Puan Maryam lagi.
Matanya melilau mencari kelibat suami Puan Zaitun, Encik Adam.
“Dia macam biasalah. Kalau waktu macam ni, dia ke masjid.” Puan Zaitun menyambung bicaranya.
“Aku... aku sebenarnya bukan tak nak bayar sewa rumah ni. Tapi, aku ada masalah. Tu yang aku nak minta tangguh sikit.” Puan Zaitun menjelaskan sebelum sepupunya itu bertanya dengan lebih lanjut.
Dia tahu dari awal lagi sebab kedatangan Puan Maryam ke rumahnya. Sudah tiga bulan dia gagal menjelaskan sewa rumah.
Puan Maryam terdiam. Dia menoleh ke arah gerai yang dibina Puan Zaitun di atas tanah miliknya. Rumah sewa yang dibinanya tidaklah besar mana, namun masih ada ruang yang cukup untuk membina tapak gerai jualan.
Asalnya gerai itu kecil sahaja, namun kini gerai itu kelihatan semakin membesar. Pelanggan pula tidak putus-putus datang ke gerai itu. Dia tidak nampak apa masalah sepupunya itu hingga tidak mampu untuk melunaskan sewa rumah.
Takkan pelanggan ramai macam ini pun masih tak ada untung? Sedangkan aku hanya minta duit sewa rumah saja. Tapak gerai satu sen pun aku tak kira, rungut Puan Maryam dalam hati.
“Apa lagi masalah kau ni, Tun?” soal Puan Maryam. Dia tunduk menyedut teh ais di hadapan.
“Aku tengok perniagaan kau maju aje. Pelanggan pun makin ramai,” kata Puan Maryam tidak puas hati.
“Modal perniagaan aku tak cukup, Yam. Pelanggan aku ni taklah seramai mana macam yang kau tengok. Jadi, duit sewa tu terpaksa aku gunakan dulu. Lagipun, anak aku ada pinjam duit aku lagi. Belum bayar. Tu yang aku tak cukup duit. Aku nak minta tangguh lagi dalam sebulan. Bulan depan aku akan masukkan duit sewa rumah untuk tiga bulan dalam akaun kau,” jelas Puan Zaitun panjang lebar.
Dia benar-benar mengharapkan belas ihsan sepupunya itu.
“Aku janji akan bayar. Boleh kan, Yam?” soal Puan Zaitun lagi. Wajah sepupunya direnung lama.
Bukan Puan Maryam tidak mahu percaya akan janji manis sepupunya itu. Tapi, janji itu selalu dimungkiri. Muak dia mendengarnya.
“Kau bagi anak kau pinjam duit lagi?” Kepalanya digeleng.
Soalan sepupunya dibiarkan sepi.
“Sampai bila kau nak tolong dia orang, Tun?” soal Puan Maryam lagi.
Dia memandang wajah sepupunya yang sedang menunduk.
“Sepatutnya, dia orang yang bagi kau duit. Bukan kau yang bagi dia orang duit. Kalau macam ni, sampai bila-bila pun dia orang takkan belajar berdikari. Dia orang tu semua dah dewasa. Dah beranak pinak pun. Dah tau fikir yang mana baik dan yang mana buruk. Patutnya dia orang yang bagi kau kesenangan, bukannya tambahkan kesusahan kau.”
Hatinya bertambah sakit mengenangkan perangai anak-anak Puan Zaitun yang hanya tahu menyusahkan ibu bapa sahaja. Kalau anaknya, tahulah dia hendak mengajarnya!
“Aku harap kau fikirkan baik-baik apa yang aku dah cakap tadi.” Suara Puan Maryam mula mengendur.
Sepupunya itu hanya menundukkan wajah. Hati tuanya dipagut rasa kasihan.
“Aku balik dulu, Tun. Anggap aje aku dah terima semua janji kau tadi.” Puan Maryam bangkit.
Dia tahu tidak ada gunanya dia berlama-lama di situ. Dia sudah pun mendapat jawapannya.
“Bulan depan aku datang tuntut janji kau.”
“Terima kasih, Yam. Sebab faham aku,” kata Puan Zaitun.
Dia menghulurkan tangan. Wajah sepupunya direnung lama.
Puan Maryam menyambut huluran tangan Puan Zaitun bersama senyuman di bibir. Serba tak kena dibuatnya. Hendak marah lebih-lebih, wanita ini bukan orang asing. Sepupunya sendiri.
Puan Zaitun hanya memandang kelibat sepupunya yang hilang daripada pandangan. Jauh di sudut hatinya, dia cemburu dengan Puan Maryam yang mempunyai anak-anak yang berjasa kepada ibu dan bapa.
Kata-kata Puan Maryam sebentar tadi telah mengganggu mindanya. Dia telah tersalah mendidik anak-anak ke? Adakah dia terlalu memanjakan mereka sehingga anak-anaknya tidak pandai hidup berdikari? Tanpa sedar, keluhan berat dilepaskan.